Friday, November 29, 2013

Kelebihan Mengamalkan Bacaan Al Ma'thurat


Bismillah. Assalamu'alaikum wbt.

Rasanya, ramai yang tahu, ataupun pernah mendengar perkataan al ma'thurat, kan? Al ma'thurat adalah kumpulan ayat-ayat al-Quran, zikir-zikir serta doa-doa yang selalu diamalkan oleh Rasulullah SAW. Ia disusun oleh as syahid Imam Hasan al Banna. Semoga Allah membalas dengan kebaikan usaha beliau yang telah memberi banyak manfa'at ini, amin ya Allah.






Al ma'thurat ada dua jenis, iaitu kubra (besar) dan sughra (kecil). Bacaan al ma'thurat kubra adalah lebih panjang dan lebih banyak berbanding dengan yang sughra. Selalunya, kebanyakan orang hanya membaca yang sughra. Namun, jika ada masa yang lebih, mungkin boleh membaca yang kubra. Al ma'thurat dibaca pada waktu pagi (selepas waktu subuh) dan juga pada waktu petang (selepas waktu asar).

Sebenarnya, setiap bacaan yang terkandung di dalam al ma'thurat mempunyai kelebihan tersendiri. Sebelum ini, saya sendiripun tidak mengetahuinya, sehinggalah saya menerima sebuah al ma'thurat yang didatangkan secara percuma bersama dengan sebuah kitab yang saya beli. Di dalamnya, ada dinyatakan kelebihan mengamalkan bacaan-bacaan di dalam al ma'thurat tersebut.

Sebagai contoh, saya ambil sebuah zikir ini;


يَا رَبِى لَكَ الْحَمْدُ كَمَا يَنْبَغِى لِجَلالَ وَجْهِكَ وَاَعَظِيْمِ سُلْطَانِكَ
Wahai Tuhanku, bagiMu segala puji seagung kemuliaan wajahMu dan kebesaran kekuasaanMu.

Kelebihannya: Dari Abdullah bin Umar RA, bahawasanya Rasulullah SAW bercerita tentang seorang hamba Allah yang mengatakan. "Ya Rabbi lakal hamdu...." Maka malaikat merasa berat dan tidak tahu bagaimana harus mencatat (pahalanya). Kemudian keduanya naik ke langit seraya berkata, "Wahai Tuhan kami, sesungguhnya hambaMu telah mengatakan perkataan yang kami tidak tahu bagaimana mencatat (pahala)nya." Allah SWT berfirman, "Apakah yang dikatakan hambaKu?" Kedua malaikat menjawab, "Sesungguhnya ia telah mengatakan Ya Rabbi lakal hamdu..." Maka Allah SWT berfirman, "Catatlah pahalanya sebagaimana yang diucapkan oleh hambaKu tadi, sampai ia berjumpa denganKu niscaya Aku (sendiri yang) akan membalasnya." (Hadith Riwayat Imam Ahmad dan Ibnu Majah.)



Subhanallah! Sangat besar sekali manfa'at membaca al ma'thurat rupanya. Sejak daripada itu, sayapun cubalah untuk tidak lagi meninggalkannya. Paling tidakpun, mesti baca sekali setiap sehari. Insya Allah Ta'ala, kita akan dipelihara olehNya daripada gangguan syaitan, sihir, kesedihan serta kesusahan hidup, dan apa-apa saja yang mungkin boleh menjauhkan kita daripada mengingatiNya. 

Bahkan, untuk jangka masa panjang, jiwa kita juga akan menjadi lebih tenang dan merasa lebih lapang, insyaAllah!


Al- Ma’thurat merupakan wirid dan doa harian yang diamalkan oleh Rasulullah SAW. Baginda adalah orang yang paling mengetahui betapa besarnya ganjaran yang diperolehi dari amalan doa dan wirid tersebut. Al- Ma’thurat digalakkkan dibaca selepas Subuh dan Asar setiap hari. Antara kelebihan membaca Al-Mathurat ialah:
  1. Tidak dihampiri syaitan
  2. Rumah dan keluarganya terselemat dari perkara yang tidak diingini.
  3. Allah mencukupkannya apa yang sangat diperlukan dari urusan dunia dan akhirat.
  4. Orang yang membacanya kemudian dia mati pada hari atau malam tersebut maka Allah akan menjamin untuknya syurga.
  5. Selamat dari segala sesuatu.
  6. Allah menyempurnakan nikmatnya ke atas orang yang membacanya.
  7. Allah berhak untuk meredhainya
  8. Tidak ada sesuatu yang mendatangkan mudarat ke atasnya.
  9. Terhindar daripada syirik.
  10. Selamat dari bisa atau sengatan semua makhluk yang beracun.
  11. Dimudahkan menyelesaikan hutang-hutang.
  12. Berhak untuk mendapat syafaat pada hari kiamat.
  13. Sesiapa yang membaca di waktu pagi,akan dipelihara oleh allah hingga ke waktu petang. Dan sesiapa yang membacanya di waktu petang akan dipelihara hingga ke waktu pagi.
  14. Mengamalkannya umpama mengamalkan Sunnah Rasulullah dari sudut zikir dan berdoa, dan berbagai lagi kelebihan.

1 comment:

  1. Assalamualaikum, saya nak tanya. Boleh tak kalau nak baca al-mathurat pada waktu malam yakni selepas isya'?

    ReplyDelete