Wednesday, November 13, 2013

DeBaRaN MeNunGGu ReSuLt


Pelbagai debaran dan keluh kesah yang dapat dillihat melalui status sebahagian adik-adik  di Facebook yang sudah mula mengupdate status-status ‘debar’ mereka menanti keputusan UPSR yang akan keluar esok.
Ada pelbagai reaksi. Takut ada. Berdebar ada. Yang tak mahu pergi ambil keputusan pun ada. Ada juga yang tak sabar nak pergi ambil keputusan. Ada yang sudah menghitung-hitung :
           ‘3 je kut.’
           ’5 ke aku nanti?’
Jadi, sementara menanti keputusan kalian keluar, wahai adik-adik , mari kita rehatkan hati kita sekejap dari perasaan-perasaan itu dengan artikel ini.
Saya tahu, adik-adik sedang menanti penuh debar.
Saya tahu, adik-adik tidak tidur lena sehari dua ini. Makan tidak lalu. Memikirkan masa depan di mana setelah keputusan keluar nanti.
Saya tahu dan saya faham, sebab saya pernah melaluinya. Mari kita laluinya bersama.

TENANGLAH TENANG
Tenangkan hati
          “Ya Allah, macam manalah keputusan aku nanti? Baik ke tidak, ha?”
           “Aku nak sambung mana nanti lepas dapat keputusan, ye?”
Kadang-kadang hendak menunggu dalam sehari ni pun, bahkan nanti 1 jam sebelum keputusan keluar pun dirasakan seolah-olah begitu lama sekali.
Sedangkan dengan 1 jam yang sama, kita boleh main bola atau buat apa-apa saja dalam keadaan kita rasa 1 jam itu belum cukup sebenarnya. Kenapa?
Kerana jiwa kita saat ini sedang resah, takut dan risau. Debar memuncak-muncak.
Takut nanti apa orang kata. Risau nanti apa pula reaksi mak ayah. Bimbang hendak tuju ke mana. Maka 1 jam yang sekejap pun dirasakan begitu lama kerana diisi dengan kerisauan di dalam jiwa.
Tenanglah dulu dalam keadaan begini.
Tenanglah tenang.

ALLAH ITU KAN ADA
Satu perkara yang membuatkan saya sentiasa jadi bahagia adalah kerana saya rasa Allah itu sentiasa ada bersama-sama saya.
Maka, segala gundah gulana dalam jiwa saya, kadang-kadang hilang begitu saja.
Saya tidak lagi resah dan risau.
Kerana saya tahu Allah sentiasa ada untuk saya. Maka saya jadi tenang. Debar pun kurang. Resah pun hilang.
Dan Allah itu juga ada untuk kalian, adik-adik saya. Bertenanglah. Jangan risau.

MINTALAH SUPAYA ALLAH BERIKAN YANG TERBAIK
Adik-adik,
Dalam keadaan-keadaan begini, apakah yang lebih patut dilakukan?
Kalau tanya pada saya, maka jawabnya merapatlah dengan Allah s.w.t.
Ya. Saat-saat begini, merapatlah dengan Allah.
Saat yang kita rasa begitu berdebar dan terdesak. Kita tidak tahu keputusan  bagaimana yang kita akan perolehi nanti. Maka, rapatlah kepada Allah dengan sebenar-benarnya dan mintalah kepada Allah agar berikan yang terbaik untuk kita ketika keluarnya keputusan nanti.
Luangkan masa jika berkesempatan untuk melakukan 2 rakat solat sunat taubat dan solat sunat hajat. Minta ampun daripada Allah, kerana dosa-dosa yang ada pada kita, mudah sekali untuk menghijab kejayaan yang berkat itu sampai kepada kita. Mintalah dengan bersungguh-sungguh supaya Allah memberikan yang terbaik untuk kita.
Bagi yang telah berusaha dengan bersungguh-sungguh sehingga tidak tidur malam mengulangkaji untuk menghadapi UPSR, bangun bertahajjud dan minta pertolongan dari Allah, percayalah yang Allah sentiasa memerhatikan semua itu.
Firman Allah dalam surah Al-Imran yang bermaksud :
“Apabila kamu telah berazam, maka bertawakkallah kepada Allah.” [Al-Imran : 159]
Bagi yang kurang usahanya, atau mungkin tidak begitu bersungguh-sungguh, tidak ada juga yang tinggal pada anda sekarang melainkan Allah sahaja. Masa telah berlalu dan tidak mungkin ditarik kembali. Mintalah supaya Allah mempermudahkan jalan-jalan anda di masa depan. Kelak, bila Allah bukakan lebih banyak peluang, gunakanlah ia dengan betul-betul. Janganlah bazirkan dan siakannya buat kali kedua.
Apapun, sekarang ini teruslah meminta agar Allah memberikan yang terbaik untuk kalian.

DEFINISI TERBAIK?
Adakah yang dikatakan terbaik itu yang mendapat berbelas-belas A? Atau adakah yang dikatakan terbaik itu adalah yang berjaya tetapi dengan usaha yang ala kadar sahaja?
Apakah ukuran terbaik pada kita begitu?
Bagi saya, tidak. Bukan begitu definisi terbaik pada saya.
Pada saya, yang terbaik tidak semestinya yang mendapat banyak A dalam keputusan UPSRnya. Ada orang dapat banyak A, tetapi kemudian semakin menjauh daripada Allah. Ada orang sedikit A, tetapi kemudian semakin akrab dia dengan Allah. Maka, manakah yang lebih baik antara kedua-dua itu?
Apapun, yang penting adalah usaha kita untuk menjadikan semuanya ‘A’. Itu lebih penting. ‘A’ dalam hubungan kita dengan Allah. ‘A’ dalam akademik. ‘A’ dalam peribadi dan akhlak kita.
Ia tidak hanya terhad kepada akademik sahaja, bahkan dalam segenap hidup kita.
Dan ‘A’ yang tertinggi sudah pasti adalah ‘A’ di sisi Allah.
Dan tentunya yang lebih baik, adalah yang mendapat banyak ‘A’ dalam keputusannya, kemudian dia semakin rapat dengan Allah.
Membumikan kehidupan kita sebagai hamba Allah ketika menerima keputusan. Itulah terbaik pada definisi saya.

PENUTUP : JALAN MASIH PANJANG, TERUS BERJALAN !
Akhir kalam, sy mengucapkan ‘Selamat Berjaya !’ kepada semua adik-adik.
Yang kami lebih kisah, adalah bilamana kalian tidak mendapat ‘A’ dalam hubungan kalian dengan Allah. Itu lebih kami kisah kerana kalian adalah adik-adik kami, yang kami harap mampu berpimpinan tangan dengan kalian semua ke syurga Dia. Jadi, bagaimana mungkin kita mampu ke syurga bersama sedangkan kita tidak lulus dalam ujian hubungan dengan-Nya?
Dapat banyak, tidak semestinya mulia. Dapat sedikitpun, tidak semestinya hina.
Kedua-duanya adalah ujian dari Allah, untuk melihat kita ini bergerak semakin dekat dengan-Nya atau semakin menjauh dari-Nya.
Syabas dan tahniah saya ucapkan (walaupun masih awal lagi) kepada adik-adik yang beroleh keputusan yang terbaik nanti. Dan kepada yang belum mendapatkan yang terbaik itu, teruskanlah mencuba dalam fasa kehidupan yang seterusnya.
Perjalanan kalian masih panjang. Ia tidak terhenti setakat UPSR ini sahaja.
Bukanlah ‘A’ atau tidak ‘A’ itu jadi penentuannya. Yang jadi penentuan dalam perjalanan kita yang panjang ini adalah hubungan kita dengan Allah. Kita akan berdepan dengan banyak cabaran yang akan menguji hubungan kita dengan Allah nanti. Maka, waktu itu, barulah terbukti kuat atau lemahnya kita.
Yang penting jagalah Allah, pasti Allah akan menjaga kita di mana kita berada dan pada bila-bila masapun.
Sementara masa yang ada, teruslah berdoa dan memohon kepada Allah supaya Allah meluluskan kita dalam keputusan kita yang akan keluar tak lama lagi serta lulus dalam ujian masa depan kita sebagai hamba-Nya.
Semoga mendapat yang terbaik, adik-adikku sekalian !
Selamat menempuh masa depan.
Semoga Allah tetap kalian bawa sepanjang kehidupan.
Credit to:- Langitilahi

No comments:

Post a Comment