Monday, September 26, 2011

5 KATEGORI MARAH


RASULULLAH dalam satu hadis diriwayatkan Abu Hurairah: “Bahawa seorang lelaki datang kepada Nabi Muhammad lalu berkata: ‘Berwasiatlah kepadaku ya Rasulullah’. Lalu baginda bersabda: ‘Jangan engkau marah’. Baginda mengulanginya tiga kali.”
Setiap manusia mempunyai sifat marah dan sabar sebenarnya adalah penghalang sifat itu. Bagaimanapun, kesabaran ada had dan batasnya, apabila hilang sabar maka timbullah kemarahan.
Menurut Imam al-Ghazali, sikap marah ialah nyalaan api yang bersumber daripada api Allah SWT yang menyala dan menjulang tinggi sampai naik ke hati.
Ada lima kategori marah iaitu cepat marah atau marah tidak bertempat, marah pertengahan (mampu mengawal marahnya atau marah bertempat), marah sederhana, tidak tahu marah dan marah keterlaluan.
Imam al-Ghazali mengatakan, ada 10 punca menjadi penyebab sifat marah iaitu rasa bangga diri, takjub kepada peribadi sendiri, berlebihan dalam gurau senda dan melampaui batas, bercakap perkara sia-sia selain gemar membuat fitnah.
Lima lagi puncanya ialah gemar berbantah dalam sesuatu perkara, khianat, tamak kepada harta juga pangkat, gagal mengendalikan nafsu dan emosi serta hasad dengki selain iri hati.
Apabila seseorang itu marah, pergerakan fizikalnya turut berubah. Api kemarahan yang semakin memuncak menyebabkan percakapannya menjadi kuat, kata-kata tidak teratur, bahasanya lucah, kasar dan bersifat menghina juga merendah-rendahkan orang yang dimarah dan pelbagai lagi.
Marah bukan berlaku pada orang yang kebanyakan saja, malah individu yang punya kedudukan atau status seperti ustaz, ustazah, guru, ulama, doktor dan sebagainya.
Persoalan akhlak, maruah diri dan undang-undang tidak lagi menjadi penilaian kerana yang penting ‘sikap aku betul, orang lain salah’.
Kadangkala orang ramai boleh menilai bahawa individu berkaitan itu ada sifat mazmumah seperti ego, tidak menerima kebenaran, berbangga dengan kedudukan, jawatan, sijil, ijazah, ilmu yang dimiliki, sedangkan semua ilmu itu menjadi amanah Allah SWT. Inilah marah yang dikeji.
Marah yang dipuji adalah marah pertengahan iaitu marah bertempat. Contoh, seorang bapa marah kepada anaknya yang tidak mahu bersolat atau menutup aurat. Rasulullah SAW mengajar kita dalam hadisnya: “Suruhlah anak kamu bersolat ketika berumur tujuh tahun dan pukullah mereka yang tidak mahu bersolat ketika berumur 10 tahun dan pisahkan mereka dari tempat tidur.” Marah kepada mereka yang memusuhi Islam sehingga kita boleh mengisytiharkan berperang. begitu juga dalam mencegah kemungkaran. Kita perlu ada marah dalam hal itu.
Contoh marah pertengahan berlaku dalam sejarah ialah ketika Saidina Ali terbabit dalam satu peperangan di mana beliau hampir hendak memenggal leher musuhnya dan tiba-tiba musuhnya meludah mukanya.
Lalu Saidina Ali tidak jadi memenggal lehernya. Maka musuhnya berasa pelik lalu bertanya Saidina Ali mengapa tidak jadi membunuhnya.
Maka Saidina Ali menjawab: “Aku takut bahawa aku membunuhmu bukan kerana Allah SWT tetapi kerana marah kepada kamu kerana kamu meludahku.” Hebatnya Saidina Ali masih lagi menggunakan pertimbangan akal dan syariat walaupun ketika marah. Sama-sama kita renungkan di mana kategori marah kita selama ini untuk kebaikan masa akan datang.

RUMAH TERBUKA MEDAN ERAT SILATURAHIM, BUKAN TEMPAT BERMEGAH


ISLAM amat menekankan betapa perlu beristiqamah atau mengekalkan amalan baik dalam kehidupan terutama selepas menjalani ibadah puasa. Inilah visi sebenar ibadah puasa yang akan membentuk jiwa yang bertakwa dan sentiasa beristiqamah dengan amalan kebajikan.
Sifat ini amat sukar untuk dipraktikkan kerana kita dibelenggu dengan gangguan syaitan yang sentiasa berusaha mengurangkan prestasi KPI umat manusia dalam perkara kebajikan.
Firman Allah SWT bermaksud: Maka tetaplah (istiqamah) engkau wahai Muhammad di jalan yang benar seperti yang diperintahkan bersama orang yang bertaubat dan janganlah melampaui batas. ( Hud ayat 112).
Dalam surah Syura ayat 15 menyebut: Oleh kerana keraguan ahli kitab dengan kebenaran, maka serulah mereka dan beristiqamahlah seperti yang diperintahkan dan janganlah melayani keinginan mereka.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya mereka yang berkata Tuhan kami adalah Allah kemudian mereka beristiqamah tidak akan berasa gentar dan gundah gulana. (Al-Ahqaf 13).
Seorang sahabat Sufian bin Abdullah As-Saqafi bertemu Baginda SAW dan bertanya: Wahai Rasulullah, berilah nasihat kepadaku agar tiada lagi perlu aku bertanya orang lain lagi selepas ini. Jawab Baginda SAW: Katakanlah, aku beriman kepada Allah dan beristiqamah. (HR Muslim).
Ilmuwan Islam berkata: Istiqamah itu adalah lebih baik dari seribu keramat.
Tiga golongan manusia akan muncul setelah selesai Ramadan iaitu:
Mereka yang beribadat pada Ramadan seperti seorang wali Allah dengan solat, tilawah, sedekah dan segala kebajikan lain dan kembali seperti sediakala apabila selesainya Ramadan.
Mereka yang tiada berasa apa-apa sama ada Ramadan atau tidak. Baginya semua sama dan tiada apa-apa makna dalam kehidupannya.
Mereka yang menerima Ramadan dengan gembira dan melakukan ibadat padanya dengan penuh keikhlasan dan meneruskan ibadat sehingga selesainya Ramadan dan beristiqamah dengannya.
Bagi warga kota yang baru pulang dari kampung, kemeriahan hari raya akan disambut pula dengan menganjurkan rumah terbuka bagi menjemput sahabat handai rakan dan taulan serta saling menziarahi antara satu sama lain. Amalan ini sangatlah baik dan dipuji kerana Firman Allah SWT yang bermaksud:Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara. Maka usahakanlah untuk mendamaikan mereka. (Al-Hujurat ayat 10).
Janganlah kita jadikan medan rumah terbuka sebagai tempat untuk berbangga dan bermegah-megah dengan kemewahan yang dikurniakan Allah SWT. Baginda Nabi SAW telah mengajar kita bagaimana mensyukuri nikmat itu dengan doa bermaksud: Ya Allah, jadikanlah aku hambamu yang sentiasa ingat dan bersyukur. Sikap bermewah-mewah ini kadang-kadang boleh membebankan setengah pihak dengan bebanan hutang dan akan membawa kepada pembaziran yang tidak digalakkan di dalam agama Islam. Firman Allah SWT: Sesungguhnya orang yang membazir adalah saudara syaitan dan syaitan itu sangat ingkar kepada Tuhannya. (Al-Israk 27).
Apa yang lebih hebat ialah mengadakan pertemuan antara sahabat lama bagi mengeratkan lagi silaturahim. Medan ini juga dijadikan platform untuk mengetahui perkembangan sahabat lama yang jarang bertemu selepas masing-masing meninggalkan alam persekolahan.
Apa yang malang ialah kita mendapati masih ada dalam kalangan sahabat yang menganggap pertemuan ini adalah sama ketika alam persekolahan dulu. Ini dirasai oleh penulis sendiri ketika mengadakan pertemuan beberapa hari yang lalu. Seolah-olah tiada roh persaudaraan antara mereka. Gurau senda mereka masih tidak berubah. Pertuturan masih tidak dijaga sehingga terkadang mengguris perasaan sahabat sendiri.
Sepatutnya majlis seumpama ini akan lebih bermakna jika diadakan program kekeluargaan dan menggunakan ruang ini untuk mempersoalkan isu semasa atau dengan pengisian yang terbaik bagi mengukuhkan persaudaraan Islam dalam kalangan masyarakat. Sabda Baginda SAW yang bermaksud:Muslim yang sebenar ialah mereka yang dapat mengawal lidah dan anggotanya daripada menyakiti orang lain. Baginda SAW juga berwasiat kepada Sufian dalam hadis yang sahih apabila ditanya maksudnya: Wahai Sufian, inilah anggota yang menyelamatkan manusia di dunia dan akhirat (sambil mengisyaratkan kepada lidah Baginda SAW).(HR Tirmizi ).
Marilah sama sama difikirkan di manakah kedudukan kita selepas Ramadan berlalu bagi mencapai matlamat sebenar kewajipan ibadah puasa iaitu menjadikan ketakwaan sebagai asas kehidupan kita.

Friday, September 23, 2011

MuTiaRa SoLeHaH


Ketaatan Hakiki Kepada Ilahi,
Istiqamah Cinta Kepada Nabi..

Darjatnya Umpama Bidadari,
Mengabdi Diri Hanya Untuk Illahi...

Sifat Malu Pengikat Diri, 
Seindah Hiasan Di Dunia Ini...

Indah Peribadi,
Dengan Iman Di Hati...

Aurat Keluhuran Dan Pergaulan Dipagari...

Akhlak Terpuji Persona Diri,
Lembut Tuturnya Penyejuk Hati...

Jiwa Ilmu & Mahabbah Telah Terpateri,
Teguh Taqwanya Setinggi Harga Diri...

Menyinari Kegelapan Menuju Jalan Ilahi...

Dari Kalamullah Hingga Ke Hadis Rasulullah,
Akhlaknya Dipandang Tinggi Umpama Srikandi...




Monday, August 29, 2011

Adakah Kita Kembali Kpd fitrah???

Sufi....Aku hairan dgn manusia, mengapa puasa itu seakan2 tidak dpt mentarbiyyah diri setelah sebulan kita berpuasa...Ku lihat, Letupan Mercun Mendahului Laungan Takbir Bukti Kemenangan Umat Islam Berpuasa.....Adakah kita telah kembali kepada Fitrah setelah sebulan berpuasa??...


Aildilfiri(perayaan kembali ke fitrah) sebenarnya tidak layak disambut oleh mrk yg masih belum kembali kpd Fitrah. Malah mereka sepatutnya bersedih kerana kehilangan peluang untuk membersihkan diri pada bulan Ramadhan. mereka orang yg rugi dan sewajarnya, bersedih kerana bulan Ramadhan yg penuh keberkatan, keampunan dan kelebihan sudah berlalu..


Orang yg bertakwa akan merayakan dgn cara yg ditujukan oleh Allah & Sunnah Rasulullah s.a.w. Dgn Lafaz;



Sufi....aku mengharap diri ini akan kembali kpd fitrah Ramadhan itu sendiri dan memperolehi Ijazah Takwa...Moga kita temui lg pd tahun hdpn, Ya Ramadhan...

Wednesday, August 24, 2011

Berkenaan Lailatul Qadar : Jangan Lepaskannya


Laylatul Qadar atau Malam al-Qadar telah diketahui umum sebagai malam yang amat istimewa buat seluruh umat Islam. Ia berdasarkan ayat al-Quran dari surah al-Qadr . Firman Allah SWT :
Ertinya : "Malam Al-Qadar lebih baik dari seribu bulan"  (Al-Qadr : 2) .
Di Malam ini jugalah Nabi SAW bersungguh-sungguh beribadat melebihi malam-malam Ramadhan yang lain.  Disebutkan di dalam sebuah hadith :-
Ertinya : Adalah Nabi SAW, beribadat dengan (lebih) bersungguh dan kuat di sepuluh malam terakhir Ramdhan, tidak sebagaimana baginda di malam-malam yang lain" ( Riwayat Muslim, no 1175 )
Sebuah lagi hadis menyebut :- 
انه كان يعتكف فيها ويتحرى ليلة القدر خلالها
Ertinya : "Adalah Nabi SAW beriktikaf padanya dan berusaha mencari malam al-qadar darinya (malam-malam ramadhan)" ( Riwayat al-Bukhari & Muslim)
أن النبي صلى الله عليه وسلم كان إذا دخل العشر أحيا الليل وأيقظ أهله وشد مئزره
Ertinya : " Apabila telah masuk 10 terakhir bulan Ramadhan, maka Nabi menghidupkan malam, mengejutkan isterinya dan mengetatkan kainnya (tidak menyetubuhi isterinya kerana amat sibuk dengan ibadat yang khusus)" ( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Waktunya
Malam Al-Qadar Indah Bagi Orang Beriman


Para ulama antaranya Syeikh Dr Yusof Al-qaradawi menyebut bahawa tarikh malam lailatul qadar sengaja di sembunyikan oleh Allah SWT agar umat manusia berusaha bersungguh-sungguh bagi mencarinya, bagaimanapun ada disebutkan terdapat tanda-tanda akan kemunculan malam yang terhebat ini.
Iaitu seperti hari esoknya yang tidak terlampu panas dan tidak pula sejuk, matahari pula tidak memancarkan sinarannya dan pelbagai lagi. Ia semuanya berasal dari hadith-hadith yang sohih.
Bagaimanapun tanda-tanda ini tidaklah begitu penting bagi individu yang benar-benar telah beribadat sepanjang malam. Ia juga tidak banyak memberikan manfaat kerana malam tersebut sudah terlepas sekiranya tanda itu dikenalpasti esoknya.
Malah, tanda ini juga adalah amat sukar menjadi tepat kerana suasana dan cuaca sesebuah Negara adalah berlainan. Di Negara barat contohnya mungkin sentiasa mendung kerana berada dalam musim sejuk, musim bunga manakala di Afrika pula mungkin sedang mengalami keterikan. Adakah malam al-qadar tidak muncul di tempat mereka kerana setiap siang adalah terik?.
Jawabnya, tanda-tanda ini hanyalah contoh yang berlaku di zaman Nabi SAW dan tidak lebih dari itu.
Menurut pandangan yang paling kuat di kalangan para ulama, ianya berlaku pada sepuluh malam yang terakhir, iaitu pada malam-malam ganjil.
Hadith Nabi menyebut:-
التمسوها في العشر الأواخر من رمضان
Ertinya : " Carilah ia (malam al-qadar) di sepuluh malam terakhir dari bulan ramadhan" (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Bagaimanapun, kita sekali lagi mungkin kebingungan pada tahun-tahun tertentu JIKA negara Arab memulakan puasa pada tarikh yang berbeza dengan negara-negara di Nusantara. Justeru, pada malam ganjil menurut kiraan Malaysia atau Saudi ?. Hal ini sukar diputuskan oleh para Ulama. Sudahnya, mereka menyarankan agar dihidupkan seluruh malam sahaja. Jawapan termudah tetapi tidak memuaskan hati tentunya. Wallahu alam.
carilah malam alqadar dengan ikhlas dan amal
 
Tarikhnya Berubah atau Tetap Setiap Tahun?
Sebahagian ulama mengatakannya bersifat tetap pada setiap tahun iaitu pada malam 27 Ramadhan, manakala majoriti ulama termasuk Imam An-Nawawi As-Syafie pula berpendapat ianya bertukar-tukar pada setiap tahun dan tidak kekal pada satu tarikh (Al-Majmu' 6/450).
Selain dari itu, berdasarkan dalil hadith al-Bukhari, kemungkinan terbesar adalah jatuh pada tujuh malam terakhir iaitu samada 25, 27 atau 29 Ramadhan berdasarkan sabdaan Nabi SAW:-
أرى رؤياكم قد تواطأت في السبع الأواخر ، فمن كان متحريها فليتحرها في السبع الأواخر
Ertinya : Aku lihat mimpi kamu (sahabat) telah menepati di tujuh malam terakhir, sesiapa yang mencarinya, maka carilah ia di tujuh malam terakhir" ( Riwayat al-Bukhari , no 1911 & Muslim)
Dari tiga tarikh harapan itu, tarikh 27 Ramdhan adalah yang paling diharapkan oleh kebanyakan umat Islam (terutamany di negara Arab) dan ia juga dipegang oleh kebanyakan Sahabat Nabi SAW serta ulama silam, sehinggakan seorang sahabat bernama Ubay Bin Ka'ab ra bersumpah ia adalah malam ke dua puluh tujuh (di zamannya secara khasnya kerana beliau telah melihat tandanya dan yakin tarikh itu tidak berubah pada tahun-tahun berikutnya) dan zaman lain umumnya, sebagaimana dalil hadith yang menyebut:-
ليلة القدر ليلة سبع وعشرين
Ertinya : "Malam al-Qadar dalah malam ke dua puluh tujuh" (Riwayat Ahmad, Abu Daud, no 1386 )
Doa Terpenting Semasa Lailatul Qadar
Allah s.w.t pernah menegur manusia yang lupa doa untuk akhirat mereka di masa puncak kemakbulan doa. Anataranya seperti hari Arafah, sebagaimana dinyatakan dalam firmanNya :-
فَمِنَ النَّاسِ مَن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا وَمَا لَهُ فِي الآخِرَةِ مِنْ خَلاَقٍ
Ertinya : Maka di antara manusia ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia", dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat ( Al-Baqarah : 200 )
Jelas dalam ayat ini Allah s.w.t menegur manusia yang lupakan kebaikan akhiratnya.
Lalu Allah s.w.t mewartakan bentuk doa yang sepatutnya, iaitu yang merangkumi kebaikan dunia dan akhirat..dan dilebihkan 'portion' atau bahagian akhirat apabila di tambah "selamatkan dari api neraka". Beerti doa untuk bahagian akhirat perlu lebih dari dunia.
Lihat doa yang diingini Allah s.w.t :-
وِمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Ertinya : "Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: ""Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka" ( Al-Baqarah : 201 )
Di malam-malam akhir ramadhan ini target utama kita adalah mendapatkan keampunan Allah s.w.t. Inilah yang disebut dalam jawapan nabi s.a.w kepada Aisyah r.a :-
وقالت عائشة ـ رضي الله عنها ـ : يا رسول الله إن وافقت ليلة القدر، فما أقول ؟ قال: قولي: اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني
Ertinya : "Berkatalah Aisyah , Wahai Rasulullah, jika aku berkesempatan bertemu Malam Al-Qadar, apakah yang perlu aku katakan (doa) ? Bersabda Nabi : " Sebutlah doa " Ya Allah sesungguhnya dikaulah maha pengampun , dan amat suka memberi ampun, maka berikanlah daku keampunan"
Mestikah Mendapat Tanda ?
Sabda Nabi SAW :
من يقم ليلة القدر فيوافقها..
Ertinya : Barangsiapa yang menghidupkan malam qadar ini dan mendapatnya..." ( Riwayat Muslim)
Hadiith ini menyebabkan setengah ulama mengatakan bahawa setiap individu yang mendapat keberkatan malam al-qadar mestilah mengetahui berdasarkan hadith di atas.
Bagaimanapun, pandangan yang lebih tepat adalah seseorang individu itu mampu mendapat kebaikannya, samada ia mengetahuinya atau tidak mengetahuinya, tanpa menafikan bahawa sesetengah individu diberi rezeki  dan kelebihan oleh Allah untuk mengetahuinya melalui pelbagai cara termasuk mimpi, tanda menarik dan mungkin pelik dan sebagainya.
Tidak perlulah untuk solat malam di tepi pokok atau di hadapan baldi air, kerana ingin memastikan waktu pokok sujud atau air menjadi beku. Allah akan memberikan tandanya menurut kehendakNya.
Masa Berkat Berpanjangan atau Hanya Beberapa Saat?
Saya masih ingat, semasa saya berada di zaman kanak-kanak, tersebar info kepada kebanyakkan saya dan rakan-rakan ketika itu adalah :
waktu maqbul dan berkat ini beberapa saat sahaja. Jika terlepas maka saatnya rugilah sepanjang hayat.
Rupanya, ia hanya rekaan para pereka cipta sahaja yang tidak diketahui tujuan mereka. Hakikatnya, waktu berkat lagi makbul ini adalah luas sepanjang malam, ia telah disebutkan oleh Allah dengan jelas iaitu :-
سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ
Ertinya : Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar ( Al-Qadr : 5 )

Inilah yang diterangkan oleh Imam Al-Qurtubi di dalam kitabnya. (Al-Jami' Li  Ahkam al-Quran, 20/134 )
Wanita Haid Terhalang Dari Berkatnya ?
Adakah wanita sedang haid terhalang dari keberkatan lailatul Qadar?. Sudah tentu jawabnya tidak, Allah s.w.t maha adil. Bagi wanita sedang uzur pelbagai amalan dan ibadah yang masih boleh dilakukan seperti :-
  • 1) Berzikir
  • 2) Berdoa
  • 3) Membawa terjemahan Al-Quran serta memahaminya.
  • 4) Mendengar bacaan Al-Quran oleh suaminya, adik beradik atau dari kaset.
Sebahagian ulama silam dan moden seperti Syeikh Prof. Dr Muhammad Abu Laylah ( Prof Syariah di Univ Al-Azhar) berpendapat mereka dibenarkan juga membaca al-Quran tanpa memegangnya  (melalui hafazan), malah sebahagian yang lain seperti Fatwa Ulama Saudi pula membenarkan mereka membacanya melalui mashaf. Saya tidak ingin membincangkannya di sini. Sekadar memberikan idea dan keterbukaan di kalangan para ulama.
Semoga kita diberikan kekuatan ibadah dan keikhlasan di waktu malam tersebut.
sekian..

Oleh: Zaharuddin Abd Rahman
20 Ramadhan 1428 H
2 Oktober 2007 

Monday, August 22, 2011

Andainya Ini Ramadhan Terakhir, Layakkah Kita Berhari Raya?

Edisi Khas Semperna Ramadhan & Syawal

Edisi kali isi merupakan isu hangat semperna ramadhan & syawal. Sukar jgk untuk mendapatkn majalah solusi kali ini setelah brp kedai telah abis stok dijual...akhirnya tak brp lama, muncullh keluaran ke 2 kok coz bru jer nmpk ade kt kedai. 

Isu kali ini bertemakan "Andainya Ini Ramadhan Terakhir, Layakkah Kita Berhari Raya?". Ini merupakan persoalan yg ditimbulkan oleh penulis bg kita merenung sejenak mengenai  matlamat puasa itu sendiri. Ini adalah krn tidak ramai antara kita yg menyedari hakikat Ramadhan itu sendiri.Ini krn "Mood" hari raya kadangkala sudah menengelamkan keberkatan Ramadhan yg belum pon tiba. Byngkn 2 org berjln. Seorg yg berjln kedepan dgn seorg yg berjalan kebelakang sedang menuju pintu rmh kita. Siapakah yg patut kita dahulukan. Tentu yg berjln ke hadapan krn lebih mulia & beradab. Begitu jualah kita sebagai tetamu Ramadhan, hndklh kita amalkn tadarus, tarawih, qiamullail, iktikaf dll. 

Matlamat puasa itu sendiri ia lah melahirkn sifat takwa dlm diri org berpuasa. Sbgmana maksud firman Allah: "Wahai org yg beriman, diwajibkn keatas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan keatas umat-umat yg terdahulu sebelum kamu agar kamu menjadi org yg bertakwa". Jika takwa tidak terhasil, bermakna puasa itu gagal. Org yg gagal tidak layak bergembira. Bulan Ramadhan diibaratkan sebagai sebuah madrasah untuk melatih kita mengawal hawa nafsu sehingga tmt tempoh dan menerima kurnia ijazah takwa. Kegembiraan pula terselah pabila mendapat ijazah pd hari konvo.

Org yg bertakwa merayakan dgn cara yg ditunjukkan Allah & sunnah Rasulullah s.a.w, antaranya:
1) Bertakbir, Bertahmid, Bertasbih Membesarkan Allah.
2) Beribadah Terus  Kpd Allah.
3) Berbuka
4) Menunaikan Zakah Fitrah
5) Solat Hari Raya
6) Mandi, Memakai Pakaian yg Indah & Memakai Haruman.

Layakah kita untuk berhari raya sedangkan ia adalah utk mrk yg berjaya mencapai takwa dgn menyambut hari kemenangan setelah sebulan bermujahadah di bln Ramadhan. Mrk yg telah menjalani ibadah puasa selama sebulan disertai pakej ibadah sprt solat, Tarawih, tadarus, qiamullail, zikrullah, berdoa, bersedekah dll sewajarnya kembali kpd fitrah sbgmana bayi yg bru dilahirkan. Soalnya, bolehkah org yg masih bergelumang hawa nafsu dianggap kembali kpd fitrahnya?

Isu kali ini sgt berguna untuk melahirkan kesedaran dlm diri kita bertapa pentingnya Ramadhan itu kpd kita, bkn sekadar kita menahan lapar & dahaga...malahan lbh drp itu. 

Saturday, August 20, 2011

Nuzul Al-Quran




Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.
‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah:
Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)
al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.
Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:
”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5).

Oleh;  Dr. Samsu Adabi  Mamat
Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam
Universiti Kebangsaan Malaysia