Thursday, December 20, 2012

Ledakan Facebook: Antara Dosa & Pahala




Mungkin kita pernah terbaca dengan beberapa ungkapan yang tidak sepatutnya. Sebagai 
contoh, cuba lihat di wall facebook kita atau sahabat-sahabat yang lain.

" Hari ini saya keluar dating dengan bf saya"
"Seronoknya keluar ngan **** semalam kat mall, thanx!!!"
"Awak ni gatal la sayang ;-)"
"baby, bila lagi nak 'study' sama-sama?"
"awak cantik pakai baju itu, cun"

Dan pelbagai lagi contoh-contoh komen, yang tak sepatutnya. Kemudian, agak menyedihkan, apabila kita muat naik gambar, tanpa kita sedari, mendedahkan aurat kita sendiri, dan 
bergambar dengan pasangan bukan muhrim secara berpegangan tangan atau berpelukan.

Mungkin, kita tidak mempunyai apa-apa niat, malah rasa bersahaja apabila menulis komen-
komen serta meletakkan gambar tersebut. Tapi sedarkah kita, kita telah membuka keaiban 
diri kita sendiri, dengan menghebahkan perkara tersebut kepada pengetahuan umum?

Menurut buku "Sabil An-Najat Min Syu-um Al-Ma'shiyat" atau "15 Kaedah Selamat Dari 
Maksiat", penulisan Muhammad bin Abdullah Al-Duwais, beliau ada menyatakan jangan 
hebah apabila berbuat maksiat. Terdapat beberapa nas agama yang boleh dikongsikan.
Bersumberkan dari Abu Hurairah Radhiyallahu 'anhu, ia berkata:

" Aku pernah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: "Semua umatku diampuni 
kecuali orang-orang yang melakukan perbuatan maksiat secara terang-terangan. 
Salah satu contoh perbuatan maksiat ialah, seseorang melakukan suatu perbuatan
 pada malam hari, padahal Allah menutupinya, namun kemudian pada pagi harinya
 ia bercerita kepada orang lain: 'Hai polan, semalam aku melakukan ini dan itu." Sebenarnya ia tidur malam dengan ditutupi aibnya oleh Tuhannya, tetapi pagi 
harinya ia menyingkap sendiri tabir Allah itu darinya."
(riwayat Al-Bukhari(6069) dan Muslim(6990)

Malangnya bagi kita, apabila kita gagal mengawal hawa nafsu kita daripada melakukan 
maksiat. Nafsu tersebut dikenali sebagai Nafsu Ammarah. Nafsu jenis ini sering menjurus melakukan maksiat dan kejahatan, serta sering mengikut hawa nafsu dan tidak sesekali melawannya. Maksiat yang dilakukan terasa seronok dan lazat, malah berbangga 
dengannya. (sumber majalah Solusi isu 25)

Adakah kita gembira apabila tergolong dalam golongan-golongan tersebut? Sudahlah
 kita melakukan maksiat seperti berdua-duaan bukan muhrim, berpegangan tangan, dan
 pelbagai lagi maksiat yang kita lakukan, nauzubillah. Kemudian, kita menghebahkannya 
dalam laman web sosial, dan berbangga dengan perbuatan tersebut. Kita jadikan nafsu
 sebagai tuhan. MashaAllah.

"Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang
 yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan 
oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan 
pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk
 kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?."
(Surah al-Jatsiyah ayat 23)

Kita sering tertipu dengan godaan hawa nafsu. Sudahlah kita melakukan kemungkaran, 
malah menghebahkannya kepada umum. Di mana tempat kita di sisi Allah? Timbulkan 
persoalan dalam diri anda, jika anda melakukan sedemikian.

Justeru, sudah semestinya kita tidak mahu tergolong dalam golongan-golongan yang 
dimurkai Allah, bukan? Jadi, janganlah kita melakukan kemungkaran, seterusnya tiada
 apa yang perlu dihebahkan kepada umum, tentang perkara terkutuk tersebut, kan? 
Kawal hawa nafsu kita, jangan biar hawa nafsu mengawal kita.

Seorang mukmin yang mengaku berasa takut kepada Allah dan menganggapNya sebagai 
Tuhan Yang maha Agung, apabila suatu waktu terjerumus dalam suatu perbuatan maksiat 
dan melanggar apa yang tidak boleh dilakukan, seharusnya ia benci maksiat tersebut dan 
seboleh mungkin berusaha agar jangan sampai diketahui oleh sesiapa pun. Malah, jangan menceritakan kepada orang lain sehingga diketahui umum. Berehati-hatilah dengan setiap tindakan yang kita lakukan, terutamanya dalam laman web sosial, kerana kita mungkin 
membuka aib sendiri, tanpa kita sedar.

Tetapi, ingat sahabat-sahabatku! Ini bukannya kebenaran atau platform untuk kita
 melakukan maksiat! Maksiat tetap harus dijauhi, supaya tidak menimbulkan kemurkaan 
Allah. Bertaubat sebelum terlambat!

Saya mencadangkan buku ini untuk bacaan anda bagi memahami lebih mendalam isu yang diperbincangkan ini..

credit: empayar-ilmu.blogspot

1 comment:

  1. JOIN NOW !!!
    Dan Dapatkan Bonus yang menggiurkan dari dewalotto.club
    Dengan Modal 20.000 anda dapat bermain banyak Games 1 ID
    BURUAN DAFTAR!
    dewa-lotto.cc

    ReplyDelete