Friday, November 9, 2012

CELIKKAN KECEMBURUANMU....



Semilir petang yang berhembus begitu mendamaikan. Rumput-rumput hijau yang 
memenuhi taman kecil di tengah-tengah kawasan perumahan Taman Sentosa turut meliang 
lintuk dihembus bayu. Sesekali terdengar kicauan burung. Pulang ke sarang setelah 
seharian mencari rezeki buat menyambung kehidupan.
Cukup mengasyikkan.
Akan tetapi kecamuk rasa di hati Ahyana sedikit pun tidak berkurang dengan keindahan 
ciptaan TUHAN yang terpapar di depan mata. Hanya tubuhnya menikmati sapaan lembut 
alam, sedang jiwanya tenggelam dalam gelombang perasaan.
Satu keluhan dilepaskan. Berat!
“Mengapa kau lakukan begitu?” Solehah, teman karib yang menemaninya menghirup 
udara petang itu tiba-tiba melempar tanya. Agak menyentak rasa.
Ahyana memalingkan kepala sambil menatap dalam anak mata Solehah. Kelihatan 
sahabatnya itu serius. Namun, riak ketenangan dari wajah keibuannya itu, seperti selalu, 
tidak terganggu.
“Lakukan apa? Merajuk dengan suami sendiri sehingga berhari-hari. Itu maksudmu?” 
Ahyana membalas sinis.
Entah mengapa mimpinya dua hari lalu melihat suami yang dikasihi sedang berbalas 
pandang penuh cinta dengan seorang wanita jelita sangat kuat mengganggu jaganya. 
Ditambah pula penemuan sampul-sampul berwarna merah jambu dari kotak barang-
barang lama suaminya ketika dia mengemas stor bawah tangga menjadikan perasaannya 
begitu sengsara. Kebetulan dia mahu mengemas rumah yang didiaminya bersama suami 
sejak setahun dulu yang telah lebih dulu dihuni suaminya bersama beberapa rakan 
bujangnya sebelum mereka disatukan.
Jelas tergambar baris-baris ceria dan mesra berisi nasihat dan kata-kata semangat yang 
dicoret seseorang bergelar wanita yang menjadi rakan pena kepada suaminya dalam surat-
surat bersampul merah jambu tersebut.
Walaupun ia berlaku sebelum ikatan perkahwinan antara mereka, penemuan itu agak 
menjeruk rasa. Sakit di hatinya masih belum hilang. Sekali hatinya terluka, memang lambat 
untuk sembuh semula. Hanya kepada Solehah, sahabat baik yang telah lama mengenali
 hati budinya tempat dia meluahkan rasa.
“Buat apa surat-surat itu masih disimpan? Itu menandakan perempuan tu sangat 
bermakna dalam hidupnya!” Ahyana mengertap bibir. Geram.
Kali ini Solehah pula menatap muka Ahyana. Renungannya sedikit meredup. Belas 
bercampur simpati dengan amukan cemburu yang sedang melanda jiwa sahabat baiknya itu.
“Kau tak rasa bersalahkah? Membiarkan suamimu bagai ayam berak kapur…termangu-
mangu tanpa belaian sambil menatap isteri di rumah berwajah masam? Pedih tau…”
Ahyana hanya menyambut dengan ketawa kecil. Mungkin dibuat-buat. Mungkin juga 
geli hati mendengar peribahasa dari bibir Solehah yang terkenal suka menyakat.
Namun, di sebalik itu, dia tahu, Solehah sangat memaksudkan setiap patah bicaranya. 
Tanda ambil berat seorang sahabat. Tambahan pula, Solehah ‘lebih dulu makan 
garam berbanding dirinya’ yang baru setahun jagung di alam rumahtangga.
WANITA DAN CEMBURU
Memang aneh memikirkan sikap cemburu orang perempuan. Kecemburuan,disebut 
dalam bahasa Arab sebagai ‘ghirah’ dan dalam bahasa Inggeris diatasnamakan 
sebagai ‘jealousy’merupakan suatu fitrah dalam diri wanita. Puncanya pelbagai, 
dan ada ketikanya ia datang dari sebab yang terlalu remeh. Setiap seorang 
dengan ciri kecemburuannya yang tersendiri. Keadaan-keadaan di bawah ini antara 
sebab yang membangkitkan kecemburuan di hati seorang isteri terhadap suami :
· Foto artis/model/rakan perempuan cantik yang sedang ditatap suami.
· Senyuman manis suami kepada wanita lain juga boleh menghadirkan resah di hati isteri.
· Kecantikan rupa paras dan bakat istimewa pada wanita lain yang dipuji-puji suami.
· Dan tidak sedikit, isteri yang menderita cemburu bila melihat kemanjaan dan perhatian 
suami kepada wanita bergelar ibu yang melahirkannya ke dunia ini.
Tidak dinafikan ia dugaan dan ujian perasaan yang bukan mudah untuk ditatang. Tanpa 
kawalan emosi dan keimanan yang tuntas, cetusan cemburu itu mampu memusnahkan
 bila nyalaannya menjadi api yang menjulang!
Kerana itu, bukan sedikit rumahtangga yang hancur kerananya.
Saya pasti setiap wanita bernama isteri tidak dapat lari dari perasaan cemburu. Senario 
di atas, adalah salah satu dari sekian banyak situasi yang selalu dialami oleh wanita 
ketika cemburu menguasai diri. Saya tidak menafikan bahawa cemburu itu lahir dari 
perasaan cinta kepada suami, bak kata orang dahulu kala, cemburu itu tanda sayang, 
lambang cinta yang sedang mekar berkembang.
Tambahan lagi pada saya, sebagai individu muslim yang digesa oleh ALLAH SWT 
agar memelihara diri dan keluarga dari menjadi bahan api neraka, cemburu adalah 
salah satu ‘penjaga’ yang perlu dimiliki oleh wanita dalam memastikan gesaan itu 
terlaksana. Firman-NYA:
Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan 
keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia 
dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, 
yang tidak mendurhakai ALLAH terhadap apa yang diperintahkan-NYA 
kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”
( Surah At-Tahrim ayat 6 )
Cuma, ia harus dibatasi dengan keimanan yang ampuh beriring pemikiran yang jernih
 lagi adil agar kecemburuan itu menjadi pemangkin yang mencambah kasih sayang 
dalam perhubungan bukan menjadi punca perbalahan sehingga menatijahkan perpisahan.
TANDA ARAS
Bukankah kita pernah dihidangkan dengan kisah seorang sahabat di zaman Rasulullah 
yang meluahkan perasaan cemburunya?
Diriwayatkan tentang satu peristiwa di zaman Nabi SAW :
قَالَ سَعْدُ بْنُ عُبَادَةَ : لَوْ رَأَيْتُ رَجُلاً مَعَ امْرَأَتِي لَضَرَبْتُهُ بِالسّيْفِ غَيْرُ مُصْفِحٍ عَنْهُ ، فَبَلَغَ ذَلِكَ رَسُولَ اللّهِ صلى الله عليه على آله وسلم فَقَالَ : أَتَعْجَبُونَ مِنْ غَيْرَةِ سَعْدٍ ؟ فَوَ الله لأَنَا أَغْيَرُ مِنْهُ ، وَالله أَغْيَرُ مِنّي ، مِنْ أَجْلِ غَيْرَةِ الله حَرّمَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَن.
Maksudnya : Berkata Sa’ad bin Ubadah r.a : "Jika aku nampak ada lelaki yang 
sibuk bersama isteriku, nescaya akan aku pukul dia dengan pedangku!” 
Lalu, disampaikan kepada Nabi akan kata-kata Sa'ad tadi, lalu nabi 
membalas: "Adakah kamu kagum dengan sifat cemburu (untuk agama) yang 
dipunyai oleh Sa'ad ? , Demi ALLAH, aku lebih kuat cemburu (ambil endah 
dan benci demi agama) berbandingnya, malah ALLAH lebih cemburu dariku, 
kerana kecemburuan ALLAH itulah maka diharamkan setiap perkara keji
 yang ternyata dan tersembunyi." ( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim )
Inilah tanda aras yang telah digariskan oleh Islam berkenaan cemburu yang dibolehkan 
dan sebaliknya. Cemburu bila melihat pasangan melakukan kemaksiatan kepada 
ALLAH adalah cemburu yang mesti ada supaya dengannya dapat mempastikan 
kehidupan berumahtangga jauh dari unsur-unsur maksiat yang boleh merosakkan 
keharmonian seperti pergaulan tanpa batas suami dengan saudara mara, sepupu 
sepapat dan rakan-rakan sekerja berlainan jantina dan seumpamanya. Demikian juga 
suami terhadap isteri, ibu ayah terhadap anak-anak dan lain-lainnya.
Oleh itu, dalam mengurus kecemburuan yang berlaku dalam cinta antara suami isteri
 ini agar tidak menatijahkan kesengsaraan dan dukacita di masa depan, Imam Ibnul 
Qayyim dalam kitabnya, Raudhatul Muhibbin, menganjurkan para wanita muslimah 
untuk meneladani sifat dan ciri bidadari syurga sebagaimana firman ALLAH SWT :
Maksudnya : “…dan untuk mereka di dalamnya terdapat isteri-isteri yang suci.”
( Surah Al Baqarah ayat 25 )
Perkara pokok yang diketengahkan dari ayat di atas adalah dari aspek membangun 
kejiwaan yang bersih dari perasaan cemburu yang bukan pada tempatnya, menjauhi 
tingkah dan sikap yang menyakiti hati suami, dan menyahbuang dari benak mereka 
perbuatan membandingkan suami dengan lelaki lain dalam hal kebaikan dan 
kebajikan rumahtangga.
CELIKKAN KECEMBURUANMU...
“Yana, cara paling indah untuk berdamai dengan kecemburuan adalah dengan muhasabah 
diri bukan menambah benci dan sakit hati kepada suami…” Solehah melontarkan 
patah kata setelah suasana sunyi beberapa ketika.
Ahyana berpaling. Tertarik mendengar saranan dari sahabat baiknya itu. Dahinya
 berkerut, bagai ada tanda soal yang besar di kepalanya.
“Muhasabah diri? Kenapa pula aku yang kena bermuhasabah…bukan aku yang 
bersalah!” Ahyana menyanggah, masih larut dalam ego diri dan gundah di hati.
“Jadi, kau maksudkan suamimu yang bersalah? Sedangkan cemburumu itu 
sendiri hanya berpunca dari sangkaan dirimu semata, belum dipastikan duduk 
perkara sebenarnya lagi. Mungkin suamimu sendiri sudah lama tidak berhubung dengan
 wanita itu. Dan surat-surat itu, kemungkinan juga sudah lama dilupakannya. 
Bukankah ia tersimpan di dalam kotak di stor yang telah bertahun tidak dikemaskan?“ 
Solehah membayangkan kemungkinan buat Ahyana menjernihkan fikiran.
Ahyana tunduk menekur kepalanya ke lantai. Bagai ada kebenaran dari butir bicara
 sahabatnya. Dia diam. Mahu terus mendengar. Melihat itu, Solehah menambah…
“Ahyana… setiap perkara dalam hidup kita ini berlaku atas pilihan kita sendiri. Bukan 
semata takdir ILAHI yang telah menentukan begitu. Sama juga dengan rasa cemburu.
 Kita sendiri yang memilih sama ada rasa cemburu itu penghujungnya mendorong 
diri kita menjadi insan lebih baik atau hanyut diselubungi perasaan negatif hingga 
membawa kepada benci, hasad dan sakit hati. Itu semua lumrah kehidupan. Sebab itu,
 rasa cemburu jika tidak dibendung lebih awal, lama kelamaan perasaan negatif yang 
bertunas di hati boleh meledak api emosi. Andai tidak dikawal, ia mampu 
mencetuskan perbalahan lebih besar. Ibarat gunung berapi yang menanti waktu untuk
 meletus…busss!” Tambah Solehah sambil memuncungkan mulutnya dalam raut wajah serius.
“Jadi sebelum api cemburu bertukar tragedi cinta…sebelum takdir TUHAN dijadikan 
alasan perpisahan, baik buang segala prasangka dan duduk bersemuka dari jiwa 
ke jiwa. Celikkan kecemburuan itu, bukan membiarkannya terus ‘buta’, sahabat!” 
Solehah masih gigih berfalsafah.
Memujuk rawan hati seorang perempuan memang memerlukan kesenian.
Ahyana menarik nafas dalam. Kolam matanya mulai hangat dengan genangan air jernih.
Wajah Solehah dipandangnya sekilas lalu dengan pantas dia menekupkan kedua 
tangan ke wajahnya yang mulai cerah bak siang hari baharu disimbahi hujan pagi dengan
 cahaya matahari mulai memancar di sebalik awan mendung yang berarak pergi. 
Kolam air matanya melimpah juga.
Terdengar esakannya. Solehah simpati….namun, di dalam hatinya, dia sudah boleh 
tersenyum lega.
Hati wanita….bagai kerak nasi. Direndam dalam air, maka lembutlah ia.
Alhamdulillah…..

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jom Kenal Rasulullah...

BIODATA RASULULLAH SAW

  • Nama : Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim.
  • Tarikh lahir : Subuh hari Isnin, 12 Rabiulawal bersamaan  20 April 571 Masehi (dikenali sebagai   Tahun Gajah; sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah yang menyerang kota Kaabah).
  • Tempat lahir : Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah.
  • Nama bapa : Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim.
  • Nama ibu : Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf.
  • Pengasuh pertama : Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman. Hamba perempuan bapa   Rasulullah SAW).
  • Ibu susu pertama : Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab).
  • Ibu susu kedua : Halimah binti Abu Zuaib As-Saadiah (lebih dikenali Halimah As-Saadiah.  Suaminya bernama Abu Kabsyah).

USIA 5 TAHUN

Peristiwa pembelahan dada Rasulullah SAW yang dilakukan oleh dua malaikat untuk mengeluarkan bahagian syaitan yang wujud di dalam hatinya.

USIA 6 TAHUN

Ibunya Aminah binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di Al-Abwa ' (sebuah kampung yang terletak di antara Makkah dan Madinah). Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah SAW) dan dibiayai oleh datuknya Abdul Muttalib.

USIA 8 TAHUN

Datuknya, Abdul Muttalib pula meninggal dunia. Baginda dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib.

USIA 9 TAHUN  (Setengah riwayat mengatakan pada usia 12 tahun).

Bersama bapa saudaranya, Abu Talib bermusafir ke Syam atas urusan perniagaan.  · Di kota Busra, negeri Syam, seorang pendita Nasrani bernama Bahira (Buhaira) telah bertemu ketua-ketua rombongan untuk menceritakan tentang pengutusan seorang nabi di kalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa itu.

USIA 20 TAHUN

Terlibat dalam peperangan Fijar . Ibnu Hisyam di dalam kitab ' Sirah ' , jilid1, halaman 184-187 menyatakan pada ketika itu usia Muhammad SAW ialah 14 atau 15 tahun. Baginda menyertai peperangan itu beberapa hari dan berperanan mengumpulkan anak-anak panah sahaja.  Menyaksikan ' perjanjian Al-Fudhul ' ; perjanjian damai untuk memberi pertolongan kepada orang yang dizalimi di Makkah.

USIA 25 TAHUN

Bermusafir kali kedua ke Syam atas urusan perniagaan barangan Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah.  Perjalanan ke Syam ditemani oleh Maisarah; lelaki suruhan Khadijah.  Baginda SAW bersama-sama Abu Talib dan beberapa orang bapa saudaranya yang lain pergi berjumpa Amru bin Asad (bapa saudara Khadijah) untuk meminang Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu.  Mas kahwin baginda kepada Khadijah adalah sebanyak 500 dirham.
USIA 35 TAHUN

Banjir besar melanda Makkah dan meruntuhkan dinding Kaabah. Pembinaan semula Kaabah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk Makkah.  Rasulullah SAW diberi kemuliaan untuk meletakkan ' Hajarul-Aswad ' ke tempat asal dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung perletakan batu tersebut.

USIA 40 TAHUN

Menerima wahyu di gua Hira ' sebagai perlantikan menjadi Nabi dan Rasul akhir zaman.

USIA 53 TAHUN

Berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah dengan ditemani oleh Saidina Abu Bakar Al-Siddiq.   Sampai ke Madinah pada tanggal 12 Rabiulawal/ 24 September 622M.

USIA 63 TAHUN

Kewafatan Rasulullah SAW di Madinah Al-Munawwarah pada hari Isnin, 12 Rabiulawal tahun 11Hijrah/ 8 Jun 632 Masihi.

ISTERI-ISTERI RASULULLAH SAW

  • Khadijah Binti Khuwailid.
  • Saudah Binti Zam'ah.
  • Aisyah Binti Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar).
  • Hafsah binti ' Umar (anak Saidina ' Umar bin Al-Khattab).
  • Ummi Habibah Binti Abu Sufyan.
  • Hindun Binti Umaiyah (digelar Ummi Salamah).
  • Zainab Binti Jahsy.
  • Maimunah Binti Harith.
  • Safiyah Binti Huyai bin Akhtab.
  • Zainab Binti Khuzaimah (digelar ' Ummu Al-Masakin ' ; Ibu Orang Miskin).

ANAK-ANAK RASULULLAH SAW

  1. Qasim
  2. Abdullah
  3. Ibrahim
  4. Zainab
  5. Ruqaiyah
  6. Ummi Kalthum
  7. Fatimah Al-Zahra '

ANAK TIRI RASULULLAH SAW

Halah bin Hind bin Habbasy bin Zurarah al-Tamimi (anak kepada Saidatina Khadijah bersama Hind bin Habbasy. Ketika berkahwin dengan Rasulullah, Khadijah adalah seorang janda).

SAUDARA SESUSU RASULULLAH SAW

IBU SUSUAN/SAUDARA SUSUAN
  1. Thuwaibah
  2. Hamzah
  3. Abu Salamah Abdullah bin Abdul Asad
  
SAUDARA SUSUAN
  1. Halimah Al-Saidiyyah
  2. Abu Sufyan bin Harith bin Abdul Mutallib
  3. Abdullah bin Harith bin Abdul ' Uzza
  4. Syaima ' binti Harith bin Abdul ' Uzza
  5. ' Aisyah binti Harith bin abdul ' Uzza
  
BAPA DAN IBU SAUDARA RASULULLAH SAW
(ANAK-ANAK KEPADA ABDUL MUTTALIB)

  1. Al-Harith
  2. Muqawwam
  3. Zubair
  4. Hamzah ***
  5. Al-Abbas ***
  6. Abu Talib
  7. Abu Lahab (nama asalnya Abdul Uzza)
  8. Abdul Ka ' bah
  9. Hijl
  10. Dhirar
  11. Umaimah
  12. Al-Bidha (Ummu Hakim)
  13. Atiqah ##
  14. Arwa ##
  15. Umaimah
  16. Barrah
  17. Safiyah (ibu kepada Zubair Al-Awwam) ***

*** Sempat masuk Islam.
## Ulama berselisih pendapat tentang Islamnya.



Sabda Rasulullah SAW:
"Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka sesungguhnya dia telah mencintai  aku. Dan sesiapa yang mencintai aku nescaya dia bersama-samaku di dalam  syurga." (Riwayat Al-Sajary daripada Anas )

Nabi Muhammad SAW - Manusia agong

KENALI NABI MUHAMMAD S.A.W. SECARA LAHIRIAH.  Begitu indahnya sifat fizikal Baginda, sehinggakan seorang ulama Yahudi yang pada pertama kalinya bersua muka dengan Baginda lantas melafazkan keIslaman dan mengaku akan kebenaran apa yang disampaikan oleh Baginda.

Di antara kata-kata apresiasi para sahabat ialah:

·               Aku belum pernah melihat lelaki yang sekacak Rasulullah saw
·               Aku melihat cahaya dari lidahnya.
·               Seandainya kamu melihat Baginda, seolah-olah kamu melihat matahari terbit.
·               Rasulullah jauh lebih cantik dari sinaran bulan.
·               Rasulullah umpama matahari yang bersinar.
·               Aku belum pernah melihat lelaki setampan Rasulullah.
·               Apabila Rasulullah berasa gembira, wajahnya bercahaya spt bulan purnama.
·               Kali pertama memandangnya sudah pasti akan terpesona.
·               Wajahnya tidak bulat tetapi lebih cenderung kepada bulat.
·               Wajahnya seperti bulan purnama.
·               Dahi baginda luas, raut kening tebal, terpisah di tengahnya.
·               Urat darah kelihatan di antara dua kening dan nampak semakin jelas semasa marah.
·               Mata baginda hitam dengan bulu mata yang panjang.
·               Garis-garis merah di bahagian putih mata, luas kelopaknya, kebiruan asli di bahagian sudut.
·               Hidungnya agak mancung, bercahaya penuh misteri, kelihatan luas sekali pertama kali melihatnya.
·               Mulut baginda sederhana luas dan cantik.
·               Giginya kecil dan bercahaya, indah tersusun, renggang di bahagian depan.
·               Apabila berkata-kata, cahaya kelihatan memancar dari giginya.
·               Janggutnya penuh dan tebal menawan.
·               Lehernya kecil dan panjang, terbentuk dengan cantik seperti arca.
·               Warna lehernya putih seperti perak, sangat indah.
·               Kepalanya besar tapi terlalu elok bentuknya.
·               Rambutnya sedikit ikal.
·               Rambutnya tebal kdg-kdg menyentuh pangkal telinga dan kdg-kdg mencecah bahu tapi disisir rapi.
·               Rambutnya terbelah di tengah.
·               Di tubuhnya tidak banyak rambut kecuali satu garisan rambut menganjur dari dada ke pusat.
·               Dadanya bidang dan selaras dgn perut. Luas bidang antara kedua bahunya lebih drpd biasa.
·               Seimbang antara kedua bahunya.
·               Pergelangan tangannya lebar, lebar tapak tangannya, jarinya juga besar dan tersusun dgn cantik.
·               Tapak tangannya bagaikan sutera yang lembut.
·               Perut betisnya tidak lembut tetapi cantik.
·               Kakinya berisi, tapak kakinya terlalu licin sehingga tidak melekat air.
·               Terlalu sedikit daging di bahagian tumit kakinya.
·               Warna kulitnya tidak putih spt kapur atau coklat tapi campuran coklat dan putih.
·               Warna putihnya lebih banyak.
·               Warna kulit baginda putih kemerah-merahan.
·               Warna kulitnya putih tapi sihat.

Thursday, November 8, 2012

FADHILAT SOLAT DHUHA...


Kelebihan Sembahyang Dhuha

Berkata Abu Murrah Ath-Tha’ifi r.a. bahwasanya Nabi s.a.w. telah bersabda : Allah telah berfirman:
“Wahai anak Adam! Bersembahyanglah untuk Aku di awal pagi, niscaya Aku akan mencukupimu di akhirnya.”(Riwayat Ahmad)
Hadis Qudsi ini menganjurkan kita mengerjakan Solat Dhuha yang mana antara faedahnya, Allah Ta’ala memberi jaminan akan melaksanakan segala keperluan-keperluan keduniaan manusia setiap hari.
Antara ibadat sunat yang dianjurkan dan menjadi amalan Rasullullah SAW sendiri ialah solat sunat Dhuha. Banyak hadis-hadis yang mengalakkannya dan menyatakan keutamaannya, antaranya dalam riwayat Abu Hurairah katanya:
“Kekasihku Rasullullah SAW telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak meninggalkannya, iaitu ; supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat solat Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan”(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Dalam riwayat yang lain Rasullullah SAW pernah bersabda yang maksudnya :
“Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat solat Dhuha .”(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Adapun kelebihan sembahyang Dhuha itu sepertimana di dalam kitab “An-Nurain” sabda Rasullullah SAW yang maksudnya : “Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan."
Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih dilautan.”(Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)
Dan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW berkata: “Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang sunat Dhuha dua belas rakaat dibina akan Allah baginya sebuah mahligai daripada emas”(Riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi)
Waktu sembahyang Dhuha ialah dari naik matahari sampai se-penggalah dan berakhir di waktu matahari tergelincir tetapi disunatkan dita’khirkan sehingga matahari naik tinggi dan panas terik.
Cara menunaikannya pula adalah sama seperti sembahyang-sembahyang sunat yang lain iaitu dua rakaat satu salam. Boleh juga dikerjakan empat rakaat, enam rakaat dan lapan rakaat. Menurut sebahagian ulama jumlah rakaatnya tidak terbatas dan tidak ada dalil yang membatasi jumlah rakaat secara tertentu, sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah bermaksud :”Adalah Nabi SAW bersembahyang Dhuha empat rakaat dan menambahnya seberapa yang dikehedakinya.” (Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah)
Doa Waktu Dhuha..
Dalam sebuah hadis yang lain Nabi SAW bersabda bermaksud : ” Barangsiapa yang menunaikan sembahyang sunat Dhuha sebanyak dua rakaat tidak ditulis dia daripada orang-orang yang lalai daripada mengingati Allah dan barangsiapa yang menunaikan nya sebanyak empat rakaat ditulis akan dia daripada orang-orang yang suka beribadat dan barangsiapa yang menunaikannya sebanyak enam rakaat dicukupkan baginya pada hari tersebut, barangsiapa menunaikanyan sebanyak lapan rakaat Allah menulis baginya daripada orang-orang yang selalu berbuat taat, barang siapa yang menunaikannya sebanyak dua belas rakaat Allah akan membina baginya mahligai didalam syurga dan tidak ada satu hari dan malam melainkan Allah mempunyai pemberian dan sedekah kepada hamba-hambaNya dan Allah tidak mengurniakan kepada seseorang daripada hamba-hambaNya yang lebih baik daripada petunjuk supaya sentiasa mengingatiNya,” (Riwayat At-Thabarani ).

Tuesday, November 6, 2012

Santai 1~Sama Jerr

Suatu hari seorang wartawan angrotek menemuramah seorang pengembala kambing. Terjadilah dialog seperti ini.

Wartawan: Assalamualaikum pak cik...boleh tanya sikit tak?
Pengembala: Boleh...tak ada masaalah.

Wartawan: Kambing-kambing ni nampak sangat sihat dan gemuk...apa yang pakcik bagi makan?
Pengembala: Yang mana satu nih? kambing hitam ke kambing bulu putih?


Wartawan…yang bulu hitam dulu …
Pengembala: Oh, kalau yang bulu hitam, ia makan rumput nun di padang ragut sana

Pemuda: Oh kalau yang putih pulak?
Pengembala: Yang putih sama juga…

Wartawan: Hmmmm….kambing-kambing ini berapa km sehari berjalan?
Pengembala : Yang mana dulu ni ? Yang hitam atau yang putih?

Wartawan: Mmmm yang hitam dulu ...
Pengembala: Oh, kalau yang hitam, 4km sehari

Wartawan: Kalau yang putih?
Pengembala: Yang putih pun sama jugak…

Mendengar jawaban itu, si wartawan mulai rasa cuak.
Wartawan : Berapa banyak bulu kambing ini dapat dihasilkan setahun?
Pengembala: Yang mana dulu nih? Yang hitam atau yang putih?

Pemuda (dengan kesalnya) yang hitam dulu la....
Wartawan: Oh yang hitam banyak…10 kg/tahun.

Pemuda: Kalau yang putih?
Wartawan: Yang putih sama juga

Wartawan: kenapa Pak Cik selalu membezakan kedua-dua wrna kambing pakcik sedangkan jawapan pakcik semuanya sama
Pengembala: Oh begini Encik. Soalnya yang hitam itu kepunyaan saya…

Pemuda: Oh, begitu Pak cik . Maaf, kalau saya emosional …kalau yang berbulu putih...siapa punya pulak ?
Gembala: Yang putih sama jugak ...saya punya.

Wartawan : Hampeh betul Pakcik nih...

~ Aspirasi oleh Cg Roslii SKTJ