Thursday, October 27, 2011

Nilai Hidup Selepas Konvokesyen



Musim konvokesyen datang lagi. Tahniah kepada para graduan yang berjaya memperoleh sijil akademik masing-masing. Sijil yang dipegang dan dijulang akan lebih bermakna apabila ilmu dari pencapaian itu dimanfaatkan sebaik-baiknya. Maka, eloklah saya menyentuh beberapa aspek yang perlu kita sama-sama memperingati selepas graduasi.
Pertama, akademik adalah hanya salah satu cabang ilmu yang ada di muka bumi Allah SWT.Kita tidak seharusnya terus rasa senang dengan menggenggam sijil pencapaian kerana kita hanya diiktiraf dalam satu cabang ilmu dari beribu-ribu cabang ilmu yang lain.
Ilmu yang kita peroleh itu hanyalah pinjaman Allah kepada kita, sedangkan hakikatnya ilmu-ilmu Allah lebih luas. Maka, kita perlu terus mencari ilmu dan menambah ilmu yang ada dengan mengisi umur kita sehari-hari sebaik-baiknya.
Kedua, menerima hakikat bahawa ilmu Allah itu luas dan Allah Maha Bijaksana. Kita tidak layak bermegah-megah dan takabur dengan pencapaian kita. Meskipun, kita diiktiraf dengan pencapaian akademik yang menakjubkan, tidak bermakna kita hebat dalam semua bidang.
Begitu juga kita tidak perlu iri hati dengan pencapaian orang lain kerana setiap insan itu ada kelebihannya tersendiri dan hari ini bukanlah penamat bagi pencarian ilmu. Apa yang lebih penting adalah, kita masih boleh teruskan pencarian ilmu dan menjadi insan berilmu.
Dalam pada itu, kita perlu merendah diri dan sentiasa bersyukur kepada Allah kerana ilmu Allah begitu luas jika dibandingkan dengan apa kita peroleh. Rasa malu dan merendah diri pada Allah amat membahagiakan dan merasa diri sentiasa ditemani dalam mencari ilmu-ilmu yang bermanfaat.
Ke tiga, rugilah kita jika kita punya ilmu yang bermanfaat tetapi tidak dimanfaatkansewajarnya. Ada dikalangan kita yang cukup bernasib baik kerana mempunyai kerjaya di bidang yang diceburi dan bidang akademik yang diiktirafnya. Tetapi tidak kurang ramainya dikalangan kita yang menceburi bidang kerjaya yang berbeza dengan bidang akademik mereka.
Meskipun begitu, lihatlah pada isi pati akademik bukanlah isi luaran akademik. Di universiti dan kolej, pelajaran terpenting adalah berdikari dalam pencarian ilmu. Ingatlah, tidak semua perkara dalam kertas peperiksaan yang datang dari kuliah bersama para pensyarah. Ada isi pelajaran datang dari kerja kursus dan tugasan yang diberikan.
Tanpa kita sedari, memenuhi tugasan adalah satu tarbiah kepada kita supaya berdikari dalam mencari ilmu. Tidak kurang dengan cara pensyarah yang menggalakan soalan ditanya ketika kuliah atau bertemu mereka untuk mendapat penjelasan yang lebih baik. Benar, belajar biarlah berguru.
Maka semua gaya hidup belajar di menara gading bukan sahaja mengajar kita akan isi luaran akademik tetapi isi pati akademik yang mengajar kaedah hidup dalam pencarian ilmu. Manfaatkan ilmu sebaik-baiknya dan jangan pula kedekut untuk berkongsi ilmu yang ada kerana ilmu itu juga bukan milik kita, tetapi milik Allah SWT.
Ke empat, menjaga kehidupan selepas graduasi dan ketika mendokong tanggungjawab bergelar pekerja. Sikap kapitalis kadang-kala membuatkan kita jauh dari landasan gaya hidup yang Islami.
Waktu solat tidak dijaga, hubungan kita dengan ibu bapa makin jauh, kuliah-kuliah agama ditinggalkan dan banyak lebihkan masa untuk bekerja dari perkara lain. Sememangnya ramai yang berkata, "baru mula kerja, biar usaha lebih sedikit". Tetapi ingatlah, jangan lepaskan masa muda begitu sahaja. Usia yang punya kekuatan mental dan tubuh badan yang cergas membolehkan kita sebenarnya mengisi usia dengan perkara lebih bermanfaat.
Caranya adalah mengimbangi antara tanggungjawab pejabat dan tanggungjawap ke atas diri sendiri dan manusia lain serta kepada Allah. Nekad dan usaha untuk pulang dari pejabat tepat pada waktunya. Teruskan hadir ke kuliah agama dan solat berjemaah. Berikan masa pada suami dan isteri serta anak-anak secukupnya.
Imbangkan hidup dengan nilai hidup yang lebih tinggi. Apalah sangat nilai hidup jika hanya pergi dan pulang pejabat, cukup bulan makan gaji. Selayaknya kita mengecapi kebahagian, ketenangan dan keseronokan hidup yang lebih bermakna dari itu seawal usia muda dengan izin Allah. InsyaAllah.
Ke lima, hati-hati dengan budaya syarikat. Kemasukan syarikat antarabangsa ke negara kita banyak memberi manfaat tetapi awas! Budaya syarikat tidak menekankan aspek rohani. Program syarikat seperti makan malam dan sambutan perayaan negara asal syarikat kadang-kala diisi dengan maksiat serta kemungkaran yang nyata. Hati-hati agar iman terjaga.
Ke enam, hiduplah untuk memberi sebanyak-banyaknya. Pernah tidak kita mendengar nasihat ini "besar nanti, jadilah orang yang berguna" lalu kita berkata "ya". Begitu banyak maksud yang boleh disandarkan pada orang yang berguna tersebut.
Hanya satu untuk disentuh di sini iaitu apabila kita memperoleh pendapatan sendiri dan pada masa yang sama mempunyai ilmu serta pengalaman, jangan kita lupa bahawa kita tidak hidup bersendirian. Kita mungkin ada orang bawahan di pejabat, kita punya tukang sapu sampah di pejabat, tukang kebun atau orang gaji di rumah atau sesiapa sahaja yang pada hakikatnya segala urusan hidup kita bergantungan pada mereka ini. Kawallah diri supaya sentiasa menjaga hati mereka.
Berikan mereka hak untuk senyum dan rasa bahagia untuk bekerja untuk kita. Kita juga seharusnya memperbanyakan perkongsian perolehan kita dengan orang lain. Mengajar pekerja baru seikhlas-ikhlasnya, menyumbangkan untuk dana-dana kemasyarakatan dan menyalurkan tenaga kerja untuk kebaikan permasalahan awam antara cara-cara untuk memberi khidmat sukarela yang baik.
Ringankan tangan dan ikhlaskan hati untuk menyalurkan bantuan kepada yang memerlukan. Sasarannya masih sama iaitu menjadi orang yang berguna atau orang yang bermanfaat kerana kita tidak lagi terkongkong dengan pendapatan orang lain serta mempunyai masa yang boleh dikawal sendiri.
Terakhir, inilah masanya untuk kembali berjasa kepada ke dua ibu bapa kita. Inilah masanya untuk merasakan perit pahit dan manis yang dilalui oleh ibu dan bapa kita. Mengingat akan itu, maka berterima kasihlah pada ke dua mereka dan kembali berbaktilah kepada ke duanya.
Berikan masa dan hulurkan bantuan serta perhatian kepada mereka. Sedang kita dahulunya sibuk dengan keperluan kampus, kini tidak lagi. Kita punya kemampuan menyusun masa dan harta sendiri.
Hidup seorang anak hanya akan bahagia dan sebahagia-bahagianya dengan redha dari ibu dan bapa. Umur mereka makin lanjut dan makin kurang bertenaga. Mereka bukan perlukan wang dari kita tetapi mereka hanya dahagakan kasih sayang dari kita. Bahagiakan mereka, semoga Allah membahagiakan kita juga.
Tahniah atas graduasi dan selamat maju jaya.