Monday, September 26, 2011

5 KATEGORI MARAH


RASULULLAH dalam satu hadis diriwayatkan Abu Hurairah: “Bahawa seorang lelaki datang kepada Nabi Muhammad lalu berkata: ‘Berwasiatlah kepadaku ya Rasulullah’. Lalu baginda bersabda: ‘Jangan engkau marah’. Baginda mengulanginya tiga kali.”
Setiap manusia mempunyai sifat marah dan sabar sebenarnya adalah penghalang sifat itu. Bagaimanapun, kesabaran ada had dan batasnya, apabila hilang sabar maka timbullah kemarahan.
Menurut Imam al-Ghazali, sikap marah ialah nyalaan api yang bersumber daripada api Allah SWT yang menyala dan menjulang tinggi sampai naik ke hati.
Ada lima kategori marah iaitu cepat marah atau marah tidak bertempat, marah pertengahan (mampu mengawal marahnya atau marah bertempat), marah sederhana, tidak tahu marah dan marah keterlaluan.
Imam al-Ghazali mengatakan, ada 10 punca menjadi penyebab sifat marah iaitu rasa bangga diri, takjub kepada peribadi sendiri, berlebihan dalam gurau senda dan melampaui batas, bercakap perkara sia-sia selain gemar membuat fitnah.
Lima lagi puncanya ialah gemar berbantah dalam sesuatu perkara, khianat, tamak kepada harta juga pangkat, gagal mengendalikan nafsu dan emosi serta hasad dengki selain iri hati.
Apabila seseorang itu marah, pergerakan fizikalnya turut berubah. Api kemarahan yang semakin memuncak menyebabkan percakapannya menjadi kuat, kata-kata tidak teratur, bahasanya lucah, kasar dan bersifat menghina juga merendah-rendahkan orang yang dimarah dan pelbagai lagi.
Marah bukan berlaku pada orang yang kebanyakan saja, malah individu yang punya kedudukan atau status seperti ustaz, ustazah, guru, ulama, doktor dan sebagainya.
Persoalan akhlak, maruah diri dan undang-undang tidak lagi menjadi penilaian kerana yang penting ‘sikap aku betul, orang lain salah’.
Kadangkala orang ramai boleh menilai bahawa individu berkaitan itu ada sifat mazmumah seperti ego, tidak menerima kebenaran, berbangga dengan kedudukan, jawatan, sijil, ijazah, ilmu yang dimiliki, sedangkan semua ilmu itu menjadi amanah Allah SWT. Inilah marah yang dikeji.
Marah yang dipuji adalah marah pertengahan iaitu marah bertempat. Contoh, seorang bapa marah kepada anaknya yang tidak mahu bersolat atau menutup aurat. Rasulullah SAW mengajar kita dalam hadisnya: “Suruhlah anak kamu bersolat ketika berumur tujuh tahun dan pukullah mereka yang tidak mahu bersolat ketika berumur 10 tahun dan pisahkan mereka dari tempat tidur.” Marah kepada mereka yang memusuhi Islam sehingga kita boleh mengisytiharkan berperang. begitu juga dalam mencegah kemungkaran. Kita perlu ada marah dalam hal itu.
Contoh marah pertengahan berlaku dalam sejarah ialah ketika Saidina Ali terbabit dalam satu peperangan di mana beliau hampir hendak memenggal leher musuhnya dan tiba-tiba musuhnya meludah mukanya.
Lalu Saidina Ali tidak jadi memenggal lehernya. Maka musuhnya berasa pelik lalu bertanya Saidina Ali mengapa tidak jadi membunuhnya.
Maka Saidina Ali menjawab: “Aku takut bahawa aku membunuhmu bukan kerana Allah SWT tetapi kerana marah kepada kamu kerana kamu meludahku.” Hebatnya Saidina Ali masih lagi menggunakan pertimbangan akal dan syariat walaupun ketika marah. Sama-sama kita renungkan di mana kategori marah kita selama ini untuk kebaikan masa akan datang.

RUMAH TERBUKA MEDAN ERAT SILATURAHIM, BUKAN TEMPAT BERMEGAH


ISLAM amat menekankan betapa perlu beristiqamah atau mengekalkan amalan baik dalam kehidupan terutama selepas menjalani ibadah puasa. Inilah visi sebenar ibadah puasa yang akan membentuk jiwa yang bertakwa dan sentiasa beristiqamah dengan amalan kebajikan.
Sifat ini amat sukar untuk dipraktikkan kerana kita dibelenggu dengan gangguan syaitan yang sentiasa berusaha mengurangkan prestasi KPI umat manusia dalam perkara kebajikan.
Firman Allah SWT bermaksud: Maka tetaplah (istiqamah) engkau wahai Muhammad di jalan yang benar seperti yang diperintahkan bersama orang yang bertaubat dan janganlah melampaui batas. ( Hud ayat 112).
Dalam surah Syura ayat 15 menyebut: Oleh kerana keraguan ahli kitab dengan kebenaran, maka serulah mereka dan beristiqamahlah seperti yang diperintahkan dan janganlah melayani keinginan mereka.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya mereka yang berkata Tuhan kami adalah Allah kemudian mereka beristiqamah tidak akan berasa gentar dan gundah gulana. (Al-Ahqaf 13).
Seorang sahabat Sufian bin Abdullah As-Saqafi bertemu Baginda SAW dan bertanya: Wahai Rasulullah, berilah nasihat kepadaku agar tiada lagi perlu aku bertanya orang lain lagi selepas ini. Jawab Baginda SAW: Katakanlah, aku beriman kepada Allah dan beristiqamah. (HR Muslim).
Ilmuwan Islam berkata: Istiqamah itu adalah lebih baik dari seribu keramat.
Tiga golongan manusia akan muncul setelah selesai Ramadan iaitu:
Mereka yang beribadat pada Ramadan seperti seorang wali Allah dengan solat, tilawah, sedekah dan segala kebajikan lain dan kembali seperti sediakala apabila selesainya Ramadan.
Mereka yang tiada berasa apa-apa sama ada Ramadan atau tidak. Baginya semua sama dan tiada apa-apa makna dalam kehidupannya.
Mereka yang menerima Ramadan dengan gembira dan melakukan ibadat padanya dengan penuh keikhlasan dan meneruskan ibadat sehingga selesainya Ramadan dan beristiqamah dengannya.
Bagi warga kota yang baru pulang dari kampung, kemeriahan hari raya akan disambut pula dengan menganjurkan rumah terbuka bagi menjemput sahabat handai rakan dan taulan serta saling menziarahi antara satu sama lain. Amalan ini sangatlah baik dan dipuji kerana Firman Allah SWT yang bermaksud:Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara. Maka usahakanlah untuk mendamaikan mereka. (Al-Hujurat ayat 10).
Janganlah kita jadikan medan rumah terbuka sebagai tempat untuk berbangga dan bermegah-megah dengan kemewahan yang dikurniakan Allah SWT. Baginda Nabi SAW telah mengajar kita bagaimana mensyukuri nikmat itu dengan doa bermaksud: Ya Allah, jadikanlah aku hambamu yang sentiasa ingat dan bersyukur. Sikap bermewah-mewah ini kadang-kadang boleh membebankan setengah pihak dengan bebanan hutang dan akan membawa kepada pembaziran yang tidak digalakkan di dalam agama Islam. Firman Allah SWT: Sesungguhnya orang yang membazir adalah saudara syaitan dan syaitan itu sangat ingkar kepada Tuhannya. (Al-Israk 27).
Apa yang lebih hebat ialah mengadakan pertemuan antara sahabat lama bagi mengeratkan lagi silaturahim. Medan ini juga dijadikan platform untuk mengetahui perkembangan sahabat lama yang jarang bertemu selepas masing-masing meninggalkan alam persekolahan.
Apa yang malang ialah kita mendapati masih ada dalam kalangan sahabat yang menganggap pertemuan ini adalah sama ketika alam persekolahan dulu. Ini dirasai oleh penulis sendiri ketika mengadakan pertemuan beberapa hari yang lalu. Seolah-olah tiada roh persaudaraan antara mereka. Gurau senda mereka masih tidak berubah. Pertuturan masih tidak dijaga sehingga terkadang mengguris perasaan sahabat sendiri.
Sepatutnya majlis seumpama ini akan lebih bermakna jika diadakan program kekeluargaan dan menggunakan ruang ini untuk mempersoalkan isu semasa atau dengan pengisian yang terbaik bagi mengukuhkan persaudaraan Islam dalam kalangan masyarakat. Sabda Baginda SAW yang bermaksud:Muslim yang sebenar ialah mereka yang dapat mengawal lidah dan anggotanya daripada menyakiti orang lain. Baginda SAW juga berwasiat kepada Sufian dalam hadis yang sahih apabila ditanya maksudnya: Wahai Sufian, inilah anggota yang menyelamatkan manusia di dunia dan akhirat (sambil mengisyaratkan kepada lidah Baginda SAW).(HR Tirmizi ).
Marilah sama sama difikirkan di manakah kedudukan kita selepas Ramadan berlalu bagi mencapai matlamat sebenar kewajipan ibadah puasa iaitu menjadikan ketakwaan sebagai asas kehidupan kita.

Friday, September 23, 2011

MuTiaRa SoLeHaH


Ketaatan Hakiki Kepada Ilahi,
Istiqamah Cinta Kepada Nabi..

Darjatnya Umpama Bidadari,
Mengabdi Diri Hanya Untuk Illahi...

Sifat Malu Pengikat Diri, 
Seindah Hiasan Di Dunia Ini...

Indah Peribadi,
Dengan Iman Di Hati...

Aurat Keluhuran Dan Pergaulan Dipagari...

Akhlak Terpuji Persona Diri,
Lembut Tuturnya Penyejuk Hati...

Jiwa Ilmu & Mahabbah Telah Terpateri,
Teguh Taqwanya Setinggi Harga Diri...

Menyinari Kegelapan Menuju Jalan Ilahi...

Dari Kalamullah Hingga Ke Hadis Rasulullah,
Akhlaknya Dipandang Tinggi Umpama Srikandi...